Kanak-kanak berusia 10 tahun yang mengalami kecederaan parah di Jalan Stesen Kuang, Sungai Buloh pada Jumaat lalu berpunca daripada seluar tersangkut pada rantai basikal.

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak berusia 10 tahun yang mengalami kecederaan parah di Jalan Stesen Kuang, Sungai Buloh pada Jumaat lalu berpunca daripada seluar tersangkut pada rantai basikal.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mangsa didapati menunggang basikal dan terjatuh sendiri apabila seluarnya tersangkut pada rantai basikal.

Tambah beliau, kejadian berlaku mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira 200 meter berhampiran kawasan sekolah.

“Seramai lima saksi diambil keterangan termasuk dua orang yang berada berhampiran lokasi kejadian yang nampak kanak-kanak itu jatuh di atas jalan dan berlari membantu mangsa.

“Keterangan saksi juga selari adalah dengan pemeriksaan ke atas seluar dipakai mangsa semasa kejadian yang mendapati terdapat kesan koyak dan minyak rantai basikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Hafiz, pemeriksaan pada basikal mangsa juga tidak menemui sebarang kesan pelanggaran dengan kenderaan lain.

Bagaimanapun, polis belum mengambil keterangan mangsa kerana sedang menerima rawatan di hospital dan masih ditidurkan selain belum sedarkan diri.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Orang ramai juga dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan maklumat tidak tepat berkaitan kejadian itu,”jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast