MUAR – Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 148.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Syukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pukul 1.59 petang.
Beliau berkata, kemalangan tersebut melibatkan membabitkan kereta Proton Iswara dan treler.
“Siasatan mendapati Proton Iswara terbabit membawa empat orang dewasa dan empat kanak-kanak, manakala lori treler dipandu seorang lelaki dewasa.
“Malangnya, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari kereta Proton Iswara disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mangsa lain mengalami pelbagai tahap kecederaan melibatkan tiga lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak Perempuan.
Jahairi berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
Pemandu treler berkenaan, tidak mengalami sebarang kecederaan dan semua mangsa berjaya dikeluarkan tanpa ada yang tersepit.
Jelasnya, operasi menyelamat mangsa di lokasi tamat pukul 3.44 petang.- MalaysiaGazette