KUALA LUMPUR – Kanak-kanak berusia 10 tahun yang parah selepas terjatuh sendiri dari basikalnya di Jalan Stesen Kuang, Sungai Buloh pada Jumaat lalu meninggal dunia 10 pagi tadi.
Dia meninggal dunia di wad rawatan rapi Hospital Sungai Buloh.
Kematiannya dilaporkan oleh keluarga pada jam 2.11 petang tadi, menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor.
Kanak-kanak 10 tahun kemalangan akibat seluar tersangkut di rantai basikal
Mangsa sebelum ini dilaporkan cedera parah akibat terjatuh selepas seluarnya tersangkut pada rantai basikal.
Ketika kejadian, kanak-kanak ini dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira 200 meter berhampiran kawasan sekolah.
“Seramai lima saksi diambil keterangan termasuk dua orang yang berada berhampiran lokasi kejadian yang nampak kanak-kanak itu jatuh di atas jalan dan berlari membantu mangsa.
“Keterangan saksi juga selari adalah dengan pemeriksaan ke atas seluar dipakai mangsa semasa kejadian yang mendapati terdapat kesan koyak dan minyak rantai basikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Hafiz, pemeriksaan pada basikal mangsa juga tidak menemui sebarang kesan pelanggaran dengan kenderaan lain.
Susulan kematian kanak-kanak ini, polis klasifikasi kes ini di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette