Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) bersama wakil UNICEF ke Malaysia, Robert Gass (tengah) bergambar ketika hadir pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia di Menara Ken TTDI, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR –  Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam menangani isu kebantutan dan kemurungan yang dialami anak GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang sedang dalam tempoh pemulihan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesemua kanak-kanak terlibat  kini berada di bawah perlindungan pihak berwajib.

“Untuk makluman, pemeriksaan tersebut akan melibatkan kaunselor serta pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di pusat kesihatan khas. Jadi ini bukan perkara yang baru tetapi sesuatu yang telah berlaku. 

“Kami mempunyai jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menangani masalah bantut terutamanya di Putrajaya.

“KKM adalah sekretariat untuk jawatankuasa ini. Kerajaan bukan sahaja meneliti mengenal pasti punca masalah kebantutan yang dihadapi oleh kanak-kanak ini termasuklah meneliti jenis makanan yang diberikan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia anjuran Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Menara Ken, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Nancy turut memaklumkan, kanak-kanak GISBH yang berada di bawah perlindungan kerajaan disahkan mengalami kemurungan.

“Sebagai langkah awal, kaunselor telah ditempatkan untuk memberikan sokongan psikologi sebelum kes-kes ini dirujuk ke mahkamah.

“Mahkamah akan menentukan tindakan susulan, termasuk sama ada untuk terus melindungi kanak-kanak tersebut atau menghantar mereka pulang,” jelasnya.

Ditanya mengenai umur mangsa yang terlibat, Nancy berkata, ia  melibatkan pelbagai peringkat umur namun julat usia secara terperinci masih belum dipastikan.

Semalam, Pasukan Khas Pemulihan Anak-Anak GISBH Selangor mendedahkan bahawa ramai anak yang dikaitkan dengan kumpulan itu, mengalami masalah kesihatan termasuk terbantut.

Dapatan itu diperoleh hasil saringan dan pemeriksaan intensif dijalankan Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) dari 4 hingga 8 November lalu terhadap lebih 200 anak berkait GISBH.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata hasil pemeriksaan kesihatan fizikal menunjukkan 26.8 peratus kanak-kanak berkenaan terbantut, dengan 6.8 peratus daripada mereka bantut teruk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast