PUTRAJAYA – Kerajaan tidak pernah bercadang untuk memansuhkan subsidi minyak masak paket 1 kilogram (kg) seperti mana yang dilaporkan banyak media tempatan hingga menimbulkan kegusaran awam.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sebaliknya kenyataan beliau yang mengatakan pihaknya sentiasa membuat semakan terhadap mana-mana program kerajaan untuk mengelakkan ketirisan itu disalah lapor oleh pihak media.
“Saya ditanya dalam satu forum terbuka mengenai minyak paket, jawapan saya itu ialah jawapan umum dan jawapan saya sudah tentu semua pelaksanaan program-program kerajaan memang disemak untuk mengurangkan ketirisan.
“Tugas dan penentuan itu dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), setakat ini belum ada keputusan dan sebagainya.
“Benda (mansuh) itu sudah tentu tidak betul, sama macam media dalam beberapa perkara, sesuatu itu akan semak dari semasa ke semasa, tapi sama ada ada rancangan atau tidak, tak ada.
“Jawapan saya ialah setiap program itu kalau ada ketirisan, memanglah ada penilaian, ada perbincangan, tetapi dilaporkan kerajaan bercadang untuk menghapuskan subsidi minyak ini, ini dua perkara yang sangat berbeza,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Rafizi mengesyorkan kepada kerajaan untuk memansuhkan subsidi minyak masak paket 1kg bagi mengatasi masalah ketirisan produk kepenggunaan itu.
Rafizi dilaporkan terdapat risiko tertentu untuk pelaksanaan pemansuhan namun pada masa sama kerajaan membelanjakan puluhan juta bagi subsidi minyak masak.
Bagaimanapun katanya, situasi yang berlaku sama ada minyak masak subsidi sukar dicari atau berada di seberang Thailand.
Dalam pada itu, Rafizi berasa kesal apabila jawapan beliau dalam sebuah forum baru-baru ini dipetik di luar konteks hingga memberi gambaran salah mengenai usaha yang dilakukan kerajaan dalam menangani ketirisan.
“Kalau sebelum ini menteri tak nak cakap apa-apa, sebab konteksnya itu selalunya tidak dilaporkan dengan baik.
“Saya harap benda-benda ini, beri kami kontak penuh, kalau tanya kami, memang kita tengok semua, tapi adakah ada keputusan, kecuali kerajaan umum tak ada keputusanlah.
“Saya harap perkara ini diperbetulkan, kalau ada laporan-laporan yang dua tiga hari ini memberi gambaran bahawa ada rancangan untuk menghapuskan subsidi minyak peket, yang itu tunggu menteri, tanya menteri KPDN,” katanya.
Menurut beliau, laporan media terhadap kenyataan Menteri Ekonomi itu seolah-olah kerajaan tidak berhak melakukan atau mempertimbangkan apa-apa perkara terhadap program rakyat.
“Saya harap pihak media dan orang ramai di luar faham bahawa tugas kerajaan ialah sentiasa mencari jalan lebih baik, kalau keadaannya yang dilaporkan, yang dijadikan isu itu semua jadi kontroversi, akhirnya kerajaan tidak akan sebut apa-apa.
“Peranan kami untuk melakukan reformasi dalam banyak perkara. Saya mohon bantuan pihak media untuk membenarkan kami sampai ke proses itu, kalau penjawat awam, dia tak berani buat apa-apa, dia tahu salah cakap sikit saja akan dijadikan bahan cerita.
“Akhirnya pihak media juga akan mengadu kata tak dapat apa-apa maklumat daripada kerajaan,” katanya.
Katanya lagi, setakat ini memang tiada cadangan itu dibawa ke Jemaah Kabinet untuk dibincang.
“Sama ada perkara itu ada keputusan atau tidak, yang itu terpulang kepada kementerian-kementerian yang akhirnya kalau mereka ada cadangan, mereka akan bawa kepada Kabinet.
“Setakat ini, tidak ada sebarang perkara yang bersabit dengan rancangan baharu mengenai minyak berpeket ini yang dibawa kepada Kabinet,” katanya lagi. – MalaysiaGazette