TERPESONA mata melihat keindahan pokok kertas yang ditanam tersusun seolah-olah menyambut kedatangan pelawat ketika memasuki kawasan ladang Sabah Softwood Berhad, Tawau di mana terletaknya Koridor Hidupan Liar Brumas.
Batang pokok yang kurus meninggi dengan dahan yang kecil kelihatan seolah-olah melambai ketika dihembus angin. Terdapat tiga spesis pokok kertas yang ditanam di ladang ini mempunyai nilai tinggi dalam industri kayu dan mendapat permintaan tinggi di luar negara.
Sabah Softwood yang memiliki tanah seluas 41,500 hektar di Brumas turut terlibat dalam penanaman sawit. Kedua-dua komoditi ini memberi impak besar bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Ketika kenderaan memasuki ke kawasan pengurusan Sabah Softwood yang terletak kira-kira 20 kilometer dari jalan utama kelihatan najis gajah dengan ketulan sebesar penumbuk lelaki dewasa bertaburan di atas jalan tanah yang berpasir.
Kawasan perladangan dan hutan sekitarnya menjadi habitat gajah pygmy atau nama sainsitiknya elephas maximus borneensis. Spesis terkecil di antara gajah Asia yang hanya boleh ditemui di Pulau Borneo dan tersenarai sebagai hidupan terancam.
Menyedari kepentingan pemuliharaan binatang yang terancam ini syarikat komoditi itu yang berada di tengah-tengah hutan simpan kelas 1, iaitu Ulu Segama di sebelah utara dan Ulu Kulumpang di selatan berkorban untuk mewujudkan Koridor Hidupan Liar Brumas bermula 2014 menghubungkan kedua-dua hutan simpan ini.
Koridor berkeluasan 1,067 hektar yang diusahakan dengan kerjasama WWF merupakan langkah jangka panjang dalam mengurangkan konflik antara manusia dan gajah pygmy dan haiwan lain sekali gus memastikan kegiatan ekonomi tempatan terus berjalan.
Membentang sepanjang 14 kilometer dengan lebar yang berbeza-beza dari 400 meter hingga 800 meter, koridor ini menyediakan laluan kepada gajah pygmy untuk bergerak bebas dalam kawasan yang lebih luas.
Pemangku Ketua Penanaman dan Pengurus Kelestarian Sabah Softwood Mohd. Hafizzul Samutu berkata, dahulu hanya 50 ekor melalui koridor itu namun kini sekurang-kurangnya 120 ekor gajah pygmy menggunakannya.
“Kami, manusia dan gajah pygmy memang sudah lebih kurang bekerjasama. Gajah ini tidak berapa terkejut kalau nampak komuniti dalam Brumas, dia kalau nak lalu, dia lalu.
“Kadang-kala kalau dalam ladang kita buat pemotongan pokok dan dahan sawit atau chipping, gajah pigmy bertindak seperti mandur, dia akan jaga. Kalau jentera pemotong berhenti awal, dia akan gerakkan,” katanya.
Beliau ditemui ketika lawatan media ke ladang itu anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan kerjasama Sabah Tourism baru-baru ini.
Tambahnya, pihak syarikat tidak memasang pagar apatah lagi pagar elektrik untuk membenarkan gajah berkeliaran secara bebas dalam kawasan ladang yang sehingga kini tidak ada laporan serangan gajah ke atas manusia di kawasan itu.
Lebih membanggakan sejak langkah pemuliharaan dibuat, bilangan gajah pygmy dan hidupan lain bertambah dan terdapat kelahiran baru dirakam kamera perangkap dalam kawasan ladang.
“Ada kalanya, ada yang bertanya sama ada musim pemburuan telah dibuka kerana gajah pigmy ini membiak dengan ketara dan kebarangkalian untuk melihat gajah ini secara terus dalam kawasan ini adalah sebanyak 75 peratus,” katanya.
Usaha untuk mengekalkan keharmonian gajah pgymy dan manusia bukan mudah. Menyediakan koridor sebagai laluan tidak akan memberi jaminan bahawa haiwan liar akan menggunakannya.
Mereka perlu dipujuk. Cara yang paling berkesan adalah menanam pokok kegemaran gajah pygmy seperti pisang dan nangka.
Menurut Mohd. Hafizzul, sejak 2014 hingga Oktober tahun ini sejumlah 85,516 pokok telah ditanam di sepanjang koridor terbabit.
Pihaknya juga membina enam kolam takungan air buatan di kawasan gajah pygmy sering kelihatan seluas 20 meter panjang, 20 meter lebar dengan kedalaman 6 meter. Mereka juga menyediakan sira garam buatan yang digemari haiwan liar dengan setiap kiub berukuran 5 meter panjang dan 1meter lebar.
Katanya, jika tanah di koridor hidupan liar itu ditanam dengan pokok sawit atau pokok kayu kertas, pihaknya boleh menjana RM5 juta setahun.
Bagaimanapun kewujudan koridor dan langkah pemuliharaan yang dilakukan telah mengurangkan kerugian secara drastik yang diakibatkan oleh haiwan liar dari RM500,000 setahun pada 2014 kepada RM5,0000 setahun pada masa kini selain mengelakkan konflik dengan manusia.
Sementara itu Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menyediakan geran berjumlah RM500,000 bagi projek penanaman rumput napeir jenis Taiwan sebagai sumber makanan gajah pygmy di sepanjang Koridor Hidupan Liar Brumas.
Menurut Eksekutif Pemuliharaan MPOGFC Danial Pamin projek yang turut melibatkan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia itu mengambil masa selama dua tahun.
“Kita gunakan rumput napier sebab cepat tumbuh dan merupakan makanan rutin gajah. Peranan UPM adalah untuk mengkaji keberkesanan rumput napier sebagai makanan ruji untuk gajah pygmy,” katanya kepada media ketika sesi lawatan ke koridor hidupan liar Brumas baru-baru ini.
Pihak yang terlibat juga akan melakukan pemasangan kolar gajah bagi melihat kawasan rayauan haiwan tersebut selain memasang lebih banyak kamera perangkap bagi mengambil gambar untuk mengetahui perkembangan terkini haiwan di dalam kawasan itu.
Sabah Softwood kini membuka pintu kawasan perladangan itu sebagai kawasan pelancongan bagi mendidik masyarakat luar mengenai kejayaan pemuliharaan yang mereka laksanakan dengan sokongan pelbagai pihak.
Tahun lalu Sabah Softwoods memulakan projek Brumas Wildlife Run dengan jarak yang terhad namun tahun ini ia melibatkan larian sejauh sejauh 20 kilometer dalam kawasan ladang dan ia akan menjadi acara tahunan.
Ketika rombongan media keluar meninggalkan ladang Sabah Softwood sang gajah keluar menampilkan diri, seolah-olah mengucapkan selamat tinggal dalam kegelapan malam.
Kemunculan gajah ini secara aman menandakan manusia dan haiwan boleh hidup harmoni, jika saling memahami, melengkapi. – MalaysiaGazette
Ini adalah bahagian akhir daripada 3 siri artikel usaha pemuliharaan orang utan dan gajah pygmy yang dilakukan oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Sabah.
Santuari Gajah Borneo menjadi tempat Agatis, Amuak yang cedera berlindung
Orang utan semakin bertambah di Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin