Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mengambil komisen daripada syarikat insurans atau pengendali takaful daripada pembelian produk oleh ahli-ahlinya, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Perkara itu ditegaskan beliau ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) pada sesi pertanyaaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Hui Ying (PH-Tanjong) berkata, sejak diperkenalkan pada Julai 2022 sehingga September lalu, seramai 144,589 ahli telah memanfaatkan kemudahan pengeluaran simpanan daripada Akaun Sejahtera (dulunya Akaun 2) bagi membeli insurans perlindungan hayat dan insurans penyakit kritikal di bawah Program i-Lindung.

Katanya, ia melibatkan jumlah pengeluaran keseluruhan sebanyak RM44.2 juta bagi membeli produk pelan perlindungan yang ditawarkan oleh lima syarikat insurans.

“Bermula Februari 2024 pula, KWSP telah menambah baik i-Lindung Fasa 2 di bawah Pelan Perlindungan Ahli yang mana ahli KWSP boleh menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera untuk membeli produk insurans konvensional dan takaful untuk perlindungan hayat dan insurans penyakit kritikal untuk ahli keluarga terdekat mereka,” katanya.

Sementara itu, tambah Hui Ying, kerajaan menyambut baik cadangan Chiew Choon Man (PH-Miri) dalam pertanyaan asal supaya perlindungan perubatan dapat ditawarkan kepada ahli KWSP sehingga berumur 99 tahun pada kadar yang berpatutan.

Jelasnya, kerajaan komited untuk terus menambah baik program I-Lindung bersama-sama syarikat insurans dan pengendali takaful agar dapat menawarkan pelan perlindungan perubatan yang lebih baik kepada ahli KWSP dengan kadar premium yang berpatutan pada masa akan datang.

“Di samping itu, tujuan utama KWSP ditubuhkan adalah untuk menyediakan tabung simpanan persaraan yang dapat memastikan kesejahteraan kewangan kepada rakyat Malaysia selepas mereka bersara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here