KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki warga Arab Saudi bahawa beliau diperas ugut beberapa anggota polis semasa ditahan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Rembau, Negeri Sembilan, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, pihaknya telah melakukan siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan pemerasan.
“Satu laporan polis telah diterima dari seorang lelaki warganegara Arab Saudi yang mendakwa diperas ugut oleh beberapa anggota polis ketika ditahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shaik Abd Kadar, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap individu atau pegawai polis yang melanggar undang-undang yang boleh mencalarkan imej polis.
Beliau turut dinasihati masyarakat agar tidak menyebarkan sebarang berita palsu. – MalaysiaGazette