Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan geng samun berkumpulan bersenjata ke atas sebuah kilang barangan lusuh di Telok Panglima Garang, Banting dengan tertangkapnya 16 lelaki pada 9 November lalu.

Daripada jumlah tangkapan itu, 14 orang adalah warga tempatan dan dua warga China.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.30 petang pada hari kejadian daripada seorang lelaki tempatan.

“Pengadu yang merupakan pengurus kilang melaporkan bahawa dia telah terima panggilan daripada pekerjanya dan dimaklumkan bahawa kilang yang terletak di kawasan Telok Panglima Garang telah didatangi oleh sekumpulan lelaki yang bertindak merampas kepingan logam/barangan lusuh milik kilang.

“Geng samun itu telah memuatkan barangan lusuh itu ke atas sebuah lori yang dibawa bersama oleh mereka tanpa kebenaran sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas laporan itu pada kira-kira jam 3.30 petang hari sama kejadian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kuala Langat membuat tangkapan ke atas kesemua suspek.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 30 tahun sehingga 50 tahun.

“Pemeriksaan lanjut polis ke atas kumpulan suspek itu membawa kepada rampasan sepucuk pistol beserta 20 butir peluru hidup serta sebilah bilah parang.

“Polis turut merampas sebuah kereta dan lori yang membawa muatan kepingan logam/barangan lusuh yang disamun dari kilang tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditangkap itu direman di lokap Balai Polis Banting bagi tujuan siasatan lanjut yang dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Katanya, jika disabitkan kesalahan mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat an.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti penglibatan kesemua suspek dalam kes yang disiasat,” ujar beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here