JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM1,000 kepada anggota penguat Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) hujung tahun lalu.
Tertuduh, Kalayakarente Prasad, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, warga asing itu ketika bekerja sebagai pekerja kedai runcit didakwa secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai RM1,000 kepada Pembantu Penguatkuasa (Unit Elite) gred KP19 di Jabatan Penguatkuasaan, MBIP di sebuah kedai runcit, Jalan Ronggeng 11, Taman Skudai Baru, Skudai di sini, pukul 11.50 pagi, 26 September 2023.
Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedai runcit itu kerana meletakkan halangan dan membuat binaan kekal berupa sinki di kaki lima premis tanpa kebenaran MBIP yang merupakan kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa dari SPRM, Fazal Lisam Abidin memberitahu mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin, namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah jika ingin membenarkannya.
Peguam Muhammad Faizzudin Abd Ra’fik bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin dengan jumlah yang rendah atas alasan tertuduh kini hanya bekerja di sebuah restoran dengan gaji RM1,500 sebulan.
“Tertuduh mempunyai seorang isteri dan dua anak berusia 10 dan enam tahun. Sejak ditangkap, tertuduh diberi jamin SPRM, namun tidak pernah gagal melapor diri di pejabat SPRM. Ada penjamin warga tempatan yang bersedia membayar jamin sebanyak RM3,000,” katanya.
Mahkamah kemudian membuat keputusan untuk tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette