KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Allahyarham Tun Daim Zainuddin daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pendakwaan terhadap bekas Menteri Kewangan itu.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 254(3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan kes berkenaan kerana Daim selaku tertuduh sudah meninggal dunia.
“Kami berlapang dada, Daim sudah meninggal, pihak-pihak tidak perlu mendapatkan tarikh lain, tidak perlu membuang masa, kita ‘move on’ sahaja,” ujar Wan Shaharuddin.
Ketika membenarkan permohonan itu, Azura turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham selain memerintahkan wang jaminan RM280,000 dikembalikan kepada penjamin.
Pada 29 Januari lalu, Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Berita selanjutnya menyusul ….