BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang mengarahkan kontena dagangan Bamboo Sticks dari China berpatah balik ke negara asal.
Maqis dalam kenyataan berkata, dagangan seberat 6,025 kilogram yang dianggarkan bernilai RM47,701 itu dibawa masuk ke negara ini menerusi Pelabuhan Pangakalan Kontena Butterworth, di sini, hari ini.
“Dagangan itu tidak dibenarkan masuk ke dalam negara susulan terdapat maklumat berbeza dan mengelirukan pada dokumen import.
“Selain itu, kita turut menemui bahan cemar pada barang dagangan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan Seksyen 14(b) akta sama” katanya.
Sehubungan itu, Maqis mengingatkan semua pemain industri agar sentiasa merujuk dan mematuhi syarat-syarat perdagangan import dan eskport negara.
“Sebarang perbuatan yang tidak mematuhi syarat adalah menjadi suatu kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar ketetapan undang-undang demi menjamin keselamatan dan keterjaminan industri pertanian negara,” katanya. – MalaysiaGazett