KUALA LUMPUR –Â Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tersingkir di pusingan pertama Masters China di Shenzen hari ini, sekali gus menimbulkan persoalan untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF (Persekutuan Badminton Dunia) bulan depan.
Kedudukan pemain nombor tujuh dunia itu berada dalam bahaya selepas terpaksa akur di tangan Lakshya Sen dari India dalam pertarungan tiga set 21-14, 13-21, 21-13, dalam tempoh 57 minit aksi di Gimnasium Shenzen.
Jelajah Dunia Akhir BWF menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.16 juta) di Hangzhou, bulan depan.
Menerusi, bekas juara Seluruh England itu perlu mengharapkan pemain lain seperti Lin Chun Yin dari Taiwan, Kenta Nishimoto (Jepun) dan Jonatan Christie (Indonesia) tidak menjadi juara.
Sementara itu, turut mengikut jejak Zii Jia adalah beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tunduk di tangan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 18-21, 11-21 di pusingan pertama.
Pasangan China itu akan berdepan satu lagi beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua menerusi kemenangan ke atas Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh dari Taiwan 21-17, 21-12.
Turut mara beregu campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sin yang mengatasi Koceila Mammeri-Tanina Violette Mammeri dari Algeria 21-15, 21-13 dan akan bertemu pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet. – MalaysiaGazette