ISKANDAR PUTERI – Belanjawan Johor 2025 akan dibentangkan dalam sidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, esok.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bajet negeri itu bertemakan Maju Johor, Rakyat Sejahtera yang bertunjangkan enam Teras Agenda Maju Johor.
“Belanjawan ini akan menyentuh pelbagai aspek penting seperti pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan mampu milik, infrastruktur, dan usaha memperkukuh keagamaan serta masa depan belia yang berdaya saing.
“Pembentangan ini juga bukanlah sekadar belanjawan, tetapi perancangan dan pelaksanaan inisiatif yang bertujuan mencipta masa depan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, setiap inisiatif yang dirancang adalah untuk memastikan tiada rakyat Johor yang ketinggalan.
“Mari bersama-sama kita teruskan langkah untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030,” katanya. – MalaysiaGazette