MUAR – Polis sedang mengesan sebuah pacuan empat roda (4WD) yang berjaya meloloskan diri semasa dikejar sejauh 180 kilometer dari daerah ini sehingga ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian itu bermula pukul 2.30 pagi apabila pemandu 4WD terbabit melanggar lampu isyarat merah di Jalan Bakri di sini.
“Secara kebetulan sebuah kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar terserempak kenderaan terbabit lalu memintanya berhenti untuk pemeriksaan.
“Namun suspek terus memecut kenderaannya dan melarikan diri sebelum pasukan peronda terbabit terus mengejarnya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pasukan peronda terbabit mendapat bantuan Polis Kontinjen Melaka serta Bukit Aman dan Balai Polis Trafik Kuala Lumpur semasa mengejarnya sehingga ke Jalan Chan Sow Lin di Kuala Lumpur.
“Namun, suspek meloloskan diri apabila kenderaan dipandunya memanjat tebing yang tidak boleh dilalui kenderaan polis sebelum memandu melawan arus,” ujarnya.
Kenderaan suspek kemudian menghilangkan diri dan usaha mengesan pemandu dan 4WD terbabit masih giat dijalankan.
Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat mengenai kenderaan dan suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran.
Tambahnya, polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette