Pasangan graduan kembar S Yamuna (kiri) dan S Yasodaa (kanan) bersama nenek mereka A Lechumy sempena Konvokesyen UTM ke 68, di Skudai, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Pasangan kembar, S Yamuna dan S Yasoda, 23, kini tersenyum puas apabila berjaya dalam pelajaran menggenggam segulung ijazah selepas diuji dengan pemergian insan tersayang.

Pasangan tersebut yang berasal dari Dengkil, Selangor berkata, bukan mudah untuk sampai ke tahap itu kerana hanya ketabahan dan keazaman kuat dapat mengharungi semua cabaran dan halangan.

Mereka dibesarkan oleh datuk dan nenek sejak kecil selepas bapa maut dalam kemalangan pada 2006 manakala ibu pula pergi buat selamanya tiga tahun selepas itu akibat kanser paru-paru.

S Yamuna berkata, sekali lagi mereka diuji dengan kemalangan jalan raya pada 2010 yang menyebabkan datuknya meninggal dunia.

Dia bersama-sama kakak dan abang kemudiannya dibesarkan oleh nenek dan banyak bergantung dengan bapa saudara selain bantuan bulanan diberikan kerajaan serta pihak sekolah.

“Kehidupan kami sekeluarga agar sukar dan saya sedar dengan pelajaran sahaja mampu ubah keadaan kami.

“Saya dan pasangan kembar sentiasa bersama-sama sejak sekolah rendah, menengah dan kolej matrikulasi sebelum masuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

‘’Nenek, L Letchumy, 70, merupakan sumber inspirasi dan motivasi terbesar kami untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Nenek yang selalu beri motivasi jangan sesekali putus asa,” katanya yang ditemui selepas Majlis Konvokesyen UTM ke-68 di sini hari ini.

Pasangan kembar yang turut memperoleh Anugerah Dekan berkata, meskipun menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan namun mereka tidak pernah berputus asa untuk mengejar impian menjadi seorang akauntan.

Jelasnya, kejayaan itu merupakan hadiah terindah diberikan kepada neneknya yang telah banyak berkorban untuk membesarkan dia bersama adik kembarnya.

“Kami sentiasa menyokong dan memberi semangat antara satu sama lain. Kami gemar belajar seawal pukul 4 pagi dan kerap ulang kaji bersama,” ujarnya.

Dia mengakui semua yang dicapai hari ini merupakan usaha dan sokongan nenek, kakak serta abang mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here