KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan “Blue Serenade Charity Dinner with PDRM Orchestra” bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada pegawainya yang terjejas akibat banjir, selain menyokong aktiviti kebajikan dan pembangunan Jabatan Pengurusan PDRM.
Konsert ini anjuran Kelab Jabatan Pengurusan PDRM bersama Kerajaan Negeri Melaka, bakal diadakan di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka pada 28 Disember 2024 bermula jam 8 hingga 11 malam.
Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komisioner Polis Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, konsert ini akan menampilkan orkestra PDRM yang dianggotai 75 anggota bersama barisan artis terkemuka.
Antaranya, Datuk Jamal Abdillah, Ziana Zain, Ella, Jo Branko, dan Doughlas Lim bakal mampu capai sasaran yang ditetapkan, katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Bukit Aman hari ini.
Azmi berkata, konsert ini diadakan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 akan dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, kepimpinan tertinggi PDRM termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Sebelum acara kemuncak itu, PDRM akan mengadakan karnival pada sebelah pagi hingga petang melibatkan pameran dan jualan, kaunter diskaun saman trafik, ‘Meet and Greet’ bersama pucuk pimpinan PDRM, dan pempengaruh media sosial serta pertunjukan udara atau terjunan tepat.
“Usaha ini adalah inisiatif PDRM merapatkan hubungan polis dengan masyarakat, selain kumpul dana untuk memperbaharui peralatan pancaragam PDRM yang di bawah tanggungjawab Kelab Jabatan Pengurusan PDRM.
“Pengumpulan dana juga untuk kebajikan kakitangan di Jabatan Pengurusan yang terjejas akibat banjir.
“Ramai pengawai menjadi mangsa banjir dengan rumah dan peralatan kediaman mereka rosak dan memerlukan bantuan,” ujarnya.
Azmi berharap semua badan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan swasta, kelab serta persatuan dapat bersama-sama menjayakan usaha ini. – MalaysiaGazette