Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kakitangan AeroDarat Services (AeroDarat) yang dirakam menumbuk seorang pelancong berstatus not to land (NTL) seperti yang dipaparkan dalam rakaman video yang tular telah diberikan surat tunjuk sebab dan digantung kerja.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan itu diambil sehingga siasatan menyeluruh berhubung insiden terbabit dibuat AeroDarat.

Menurutnya, beliau telah menerima laporan berhubung kejadian itu yang didakwa berlaku selepas pelancong terbabit mencetuskan provokasi selain mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai terlibat.

“(Tetapi) apa pun keadaannya, memang kita tidak boleh pertahankan tindakan kakitangan itu…at any event, dia mesti bertindak secara profesional.

“Sebab dia bertindak sebagai seorang kakitangan di lapangan terbang kita, walaupun mungkin kadang-kala kita tahu ada penumpang yang mungkin tidak begitu sopan, tetapi dalam apa keadaan pun, kakitangan kita mesti bertindak secara profesional,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau ditanya berkenaan video yang tular dan disiarkan sebuah portal berita hari ini yang memaparkan seorang pegawai menumbuk seorang pelancong di sebuah lapangan terbang.

Sementara itu, Anthony berkata, tanggungjawab menguruskan penghantaran semula NTL bukan dikendalikan oleh Jabatan Imigresen atau Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), sebaliknya diuruskan oleh syarikat penerbangan.

Katanya, perkara itu merupakan standard yang diguna pakai di semua lapangan terbang antarabangsa, bukan hanya di negara ini.

“Semua lapangan terbang antarabangsa pun sama, jadi dalam kes ini, ada satu kawasan atau bilik yang disediakan MAHB untuk meletakkan NTL sementara waktu sementara mereka menunggu penerbangan balik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here