PASIR GUDANG – Pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut perlu diheret ke mahkahmah dan dikenakan hukuman setimpal.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, ini bagi memberi pembelaan dan keadilan kepada keluarga mangsa.
Beliau merujuk kepada keluarga pasangan suami isteri yang maut dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian yang berlaku di sini pada awal pagi Sabtu lalu.
“Kes ini memberi kesan yang buruk terhadap keluarga mangsa apabila anak-anak mangsa kehilangan ibu bapa dan mereka pula menjadi yatim piatu.
“Saya harap pihak yang bertanggungjawab akan mengambil serius kes ini dan melakukan tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga pasangan tersebut di kediaman mereka di Flat Taman Cendana, di sini, hari ini.
Sabtu lalu, pasangan suami isteri, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Vario yang ditunggang dirempuh pemandu mabuk di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini, kira-kira pukul 4 pagi.
Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3.
Kesemua mereka ini kini di bawah jagaan datuk dan nenek sebelah keluarga bapa, iaitu Ramlah Kasiran, 56, dan suami, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61 yang bekerja sebagai pemandu Forklift akan mengambil tanggungjawab menjaga semua cucunya itu.
Khairin-Nisa berkata, bagi meringankan beban keluarga terbabit Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan RM300 pada hari kejadian dan juga kotak makanan bernilai RM250.
Katanya, JKM akan meneruskan bantuan bulanan kepada keluarga berkenaan berjumlah RM800.
Selain itu katanya, bantuan akan diberi termasuk sokongan psikologi dan intervensi yang diperlukan anak-anak mangsa berusia tiga hingga 17 tahun.
Menurutnya, JKM juga menerusi kanselor dan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan memastikan kesemua anak-anak pasangan tersebut bersekolah.
“Seterusnya, JKM telah membuat permohonan mahkamah untuk melantik datuk dan neneknya sebagai Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) untuk memelihara dan menjaga cucu-cucunya.
“JKM telah membuat membuat jadual pemantauan kaunseling kepada kanak-kanak ini untuk kembali bersekolah. Memandangkan dalam rumah nenek ini dihuni oleh 11 ahli keluarga, JKM sedang mengatur pengurusan kes untuk intervensi kanak-kanak dan keluarga ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ramlah berkata, dia dan suami, Mohd Rudi Abdul Rahman, 60, akan berusaha memastikan cucu-cucunya tidak terabai terutama keperluan harian mereka.
Dia dan suami katanya, ketika ini menjaga empat anak angkat berusia enam hingga 11 tahun dan selepas kejadian itu mereka menjaga kelima-lima cucunya.
“Saya sekarang menjaga sembilan anak dan cucu di rumah,” katanya yang merupakan suri rumah.
Ditanya sama ada mahu berpindah disebabkan rumah didiami tidak selesa dan tidak dapat menampung jumlah penghuni yang ramai, Ramlah enggan berbuat demikian.
Jelasnya, ini kerana dia bimbang tidak mampu menyewa rumah baharu kerana sewa rumah sedia ada hanya RM100 dan tambahan pula hanya bergantung dengan pendapatan suaminya. – MalaysiaGazette