KLUANG – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah lori di Kilometer 83, Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 1.05 petang tadi melibatkan kereta jenis Toyota Vios dipandu mangsa dan lori Scania.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa lori berkenaan dari Kota Tinggi menghala ke Sungai Kahang.
“Apabila lori berkenaan sampai di tempat kejadian, kereta tersebut masuk ke laluannya menyebabkan lori itu tidak sempat brek dan melanggar kereta berkenaan.
“Akibat pelanggaran tersebut kereta berkenaan meluncur ke tebing kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan mangsa, Faizal Sa’adan, 36, beralamat di Kluang dan bekerja sebagai pemandu lori cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu lori, Che Mohd Firdaus Che Hashim, 32, beralamat di Kota Tinggi tidak mengalamai sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette