KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) mendapati pendawaian elektrik pada sebuah bas tidak teratur menyebabkan seorang remaja berumur 18 tahun maut akibat renjatan elektrik.
Menurut Kementerian Pengangkutan, siasatan pasukan petugas khas itu mendapati sambungan pendawaian dari luar kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket dipasang secara terbalik.
“Di samping itu, penggunaan kelengkapan elektrik yang digunakan dalam bas tersebut juga tidak memenuhi standard piawaian barangan yang ditetapkan.
“Pemasangan pendawaian elektrik bas juga dilakukan oleh pihak yang tidak bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada 2 November lalu, seorang remaja maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket di dalam sebuah ekspres di Terminal Bas Penang Sentral, Butterworth pada jam 7.40 malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, maut di tempat kejadian dengan kecederaan pada jari tangan sebelah kiri.
Hasil siasatan itu turut mendapati walaupun komponen struktur bas mematuhi pelan teknikal yang diluluskan dan telah lulus pemeriksaan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) pada 20 Mei 2024, namun aspek keselamatan pendawaian elektrik perlu diberi perhatian segera.
“Ini adalah kerana bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” ujarnya.
Pasukan petugas khas itu dianggotai pagawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Suruhanjaya Tenaga (ST), Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM); dan Puspakom. – MalaysiaGazette