Yahaya menunjukkan barang rampasan semasa Ops Bersepadu Khazanah membabitkan satu laras senapang jenis 'pump gun' jenama remington 870 express magnum beserta 81 butir peluru.

TEMERLOH – Enam lelaki diberkas polis bersama selaras senapang dan 81 butir peluru disyaki melakukan pemburuan haram di  Hutan Simpan Kemasul, di sini, pada 9 November lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua suspek berusia 35 tahun hingga 60 tahun menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux ketika ditahan pada jam 11.30 malam di sekitar ladang Pongsoi Mukim Semantan, Lanchang.

”Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut, polis menjumpai dan merampas satu laras senapang jenis ‘pump gun’ jenama Remington 870 Express Magnum beserta 81 butir peluru.

”Pasukan Op Bersepadu Khazanah yang terdiri dilakukan sepasukan polis dari batalion 7 Pasukan Gerakan Am, Kem Bukit Galing Kuantan dan sepasukan Pegawai Jabatan Perhilitan Negeri Pahang,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Kuala Krau, hari ini.

Yahaya Othman

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh mendapati, salah seorang lelaki berusia 37 tahun yang ditahan mengakui senjata api tersebut adalah miliknya.

”Suspek mengakui tidak pernah memiliki lesen senjata api untuk memiliki dan menggunakan senjata api yang dirampas tersebut,” tambahnya.

Kata beliau, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi hotline Polis Pahang ditalian 03-22662222 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast