Yahaya menunjukkan dua pucuk pistol iaitu sepucuk pistol angin dan satu lagi pistol tulen jenis semi auto yang telah dirampas oleh pihak polis

TEMERLOH – Polis menahan lima lelaki dipercayai pengedar dadah dalam serbuan di sekitar Bandar Pusat Jengka, Maran pada 14 November lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, empat daripada suspek yang ditahan merupakan warga tempatan, manakala seorang lagi adalah warga Thailand.

Tambah beliau, dalam serbuan itupolis merampas dua pucuk pistol iaitu sepucuk pistol angin dan satu lagi pistol tulen jenis semi auto.

”Pistol angin dirampas bersama satu kelopak peluru mengandungi 19 butir bebola besi dan 97 butir bebola besi dipercayai untuk kegunaan pistol berkenaan.

“Bagi pistol tulen jenis semi auto pula, kita turut merampas satu kelopak pistol mengandungi dua butir peluru hidup,” katanya pada sidang media selepas majlis Pelatakan Batu Tanda Peringatan Peristiwa Subuh Berdarah Balai Polis Kuala Krau, dekat sini, hari ini.

Menurut Yahaya, pistol tulen tersebut sudah dikacauganggu dengan nombor sirinya dipercayai telah dipadamkan oleh suspek.

Jelasnya, ketua kumpulan tersebut didalangi pemuda berusia 26 tahun memiliki 14 rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Kata beliau, kumpulan itu dipercayai mula aktif sejak awal bulan Ogos lalu dan menjadikan kawasan sekitar Bandar Pusat Jengka dan tanah rancangan Felda di Maran sebagai lokasi menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

”Kelima-lima yang ditahan positif dadah jenis amphetamine.

“Hasil serbuan dan tangkapan, kita berjaya merampas lima peket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin, enam paket lutsinar mengandungi serbuk kristal dipercayai syabu dan dua paket lutsinar mengandungi 21 biji pil dipercayai jenis Yaba,” ujarnya

Menurut Yahaya, kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 35 tahun itu kini direman dan disiasatan dilakukan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast