MUAR – Polis memberkas tiga lelaki ditahan dan merampas 11.5 kilogram dadah serta sepucuk pistol selepas menahan sebuah kereta di Kampung Temiang, Bukit Treh di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, serbuan itu dilakukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik membuat serbuan itu pada pukul 10.30 malam.
Beliau memberitahu, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna merah sebelum menahan tiga lelaki terbabit.
“Dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara Myanmar berumur dalam lingkungan 32 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Sewaktu ditahan, semua suspek sedang menunggu pusher untuk mengedar stok dadah jenis ganja.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua tangkapan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan satu tangkapan positif dadah jenis Methamphetamine (Meth).
“Selain itu kita turut merampas dadah jenis ganja seberat 11.5 kilogram bernilai RM36,600,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini hari ini.
Beliau berkata, turut dirampas Perodua Bezza warna terabit sepucuk senjata api berwarna hitam bertulis glock, satu kelopak dan 15 butir peluru hidup saiz 9 mm.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta kira-kira RM80,000.
Raiz Mukhliz memberitahu, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu antara September sehingga November.
Modus operandi sindiket itu katanya, lebih kepada pengedaran dadah jenis ganja yang diambil dari negara jiran melalui jalan tikus.
Ujarnya, dadah itu dibekalkan kepada pengedar di beberapa kawasan di daerah ini, sekitar Johor dan Melaka.
Tambah Raiz Mukhliz, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dalang utama sindiket tersebut yang dipercayai dari negara jiran.
Tambahnya, semua tangkapan berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 November ini.
Beliau meberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan rotan.
Kes juga katanya, disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan.- MalaysiaGazette