PUTRAJAYA – Jemaah Menteri sentiasa terbuka menerima maklum balas daripada semua pihak mengenai prestasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencecah dua tahun, hujung minggu ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, meskipun Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara, namun Kabinet melihatnya secara positif.
“Saya mengalu-alukan pelbagai pandangan, pihak berkepentingan yang berbeza mempunyai keutamaan yang berbeza, apa juga pandangan mereka, saya fikir kumpulan yang berbeza berhak memberi maklum balas.
“Sebagai ahli Kabinet, saya tak lihat maklum balas itu dari sudut negatif, sudah tentu kita kena melihat dengan cara harmoni untuk melakukan reformasi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, badan itu memberikan gred D kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.
Menurut beliau, manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain menyertai gabungan dan ia sepatutnya memberikan kelebihan dalam memenuhi kesemua agenda reformasi.
Dalam 70 peratus skala pemarkahan akauntabiliti manifesto merangkumi Reformasi Pilihan Raya, status dua daripada tujuh masih berjalan, manakala selebihnya tidak dilaksanakan.
Bahagian Reformasi Institusi, lima dari 18 berjaya dilaksanakan, tujuh dalam proses dan lain-lain tidak dipenuhi, manakala Hak Kebebasan Sivil pula tiga sudah dibuat, dua dalam proses serta tiga tidak terlaksana.
Rafizi juga berkata, sikap kabinet mengambil semua maklum balas secara positif dan ia membantu kerajaan dalam menguruskan program pembaharuan dan mengimbanginya.
“Saya juga agak yakin kebanyakan masyarakat akan dapat menilai kami dengan adil adalah keutamaan kami kerana jangkaan yang berbeza datang daripada segmen masyarakat yang berbeza.
“Jika kita mahu hanya tarik satu segmen, kita mungkin diberi skor A oleh Bersih, tetapi kita mungkin diberi skor F atau perkara lain.
“Fokus yang saya fikir adalah untuk mengimbangi semua ini dan pembaharuan adalah sebahagian daripada pakej (reformasi) ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette