Seorang peserta menerima kerusi roda sempena Program Santuni Madani dan Jelajah Peduli Ummah anjuran Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) di Sungai besar, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 2,000 pengunjung yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum menghadiri Program Santuni Madani dan Jelajah Peduli Ummah anjuran Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) di Sungai Besar, kelmarin.

Program dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selama tiga hari itu bertujuan menyemai semangat madani dan perpaduan masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan kemanusiaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Sani Araby Al Kahery berkata, program berkenaan adalah usaha untuk membawa mesej kasih sayang, perpaduan dan solidariti di seluruh negara.

Katanya, beliau percaya dengan adanya kerjasama erat antara agensi-agensi, NGO dan masyarakat ,ia dapat melaksanakan misi kemanusiaan tersebut dengan lebih berkesan.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan tiada siapa yang terpinggir dan bantuan dapat disampaikan kepada golongan yang memerlukan.

“Kami menekankan kepentingan pendekatan dakwah yang diambil dalam program ini. Kami ingin memperkenalkan konsep Malaysia Madani melalui pendekatan santai yang mengutamakan tindakan, bukan sekadar kata-kata.

“Inilah cara terbaik untuk menyampaikan mesej Islam yang sebenar melalui kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama insan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Program tersebut, Hidayat Abdullah berkata, pihaknya amat teruja dengan pelaksanaan program kali ini yang membawa pendekatan berbeza dan lebih inklusif.

Katanya, setiap aktiviti dirancang dengan teliti bagi memastikan penyertaan aktif dari semua lapisan masyarakat.

Tambah beliau, dengan pelbagai inisiatif seperti ziarah asnaf dan klinik bergerak, pihaknya berharap dapat memberi manfaat yang menyeluruh kepada penduduk setempat.

“Kita juga mengajak lebih ramai sukarelawan untuk terlibat dalam program ini. Inilah masa untuk kita sama-sama berganding bahu, bukan sahaja untuk membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga untuk memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam kalangan masyarakat,” ujar Hidayat.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, seramai 3,000 sukarelawan dan 20 aset digerakkan menerusi Jelajah Peduli Ummah ke seluruh Semenanjung Malaysia bagi menyantuni masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, khususnya yang ditimpa musibah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here