Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 22 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Penyalahgunaan dadah jenis sintetik seperti Amphetamine Type Stimulant (ATS) yang mendominasi pasaran negara menjadi cabaran kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menangani masalah nombor satu negara itu.

Mengakui perkara berkenaan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perubahan trend penggunaan dadah seperti itu menjadikan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sukar untuk memerangi bahan terlarang tersebut.

“Antara punca yang menyebabkan masalah dadah sukar dibendung disebabkan perubahan trend daripada jenis dadah organik kepada sintetik. Ini sangat mencabar.

“Kalau melihat statistik menunjukkan penyalahgunaan jenis ATS ini adalah seramai 115,410 orang iaitu 70.4 peratus, berbanding jumlah keseluruhan jenis dadah sehingga September lalu.

“Penyalahgunaan dadah jenis ganja pula hanya sekitar empat peratus iaitu 6,750 orang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mahukan penjelasan daripada KDN berhubung punca menyebabkan usaha puluhan tahun dalam memerangi penyalahgunaan dadah di negara ini oleh kementerian dan agensi berkaitan, seolah-olah tidak berjaya.

Menjawab soalan asal yang dikemukakan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung kes penyalahgunaan dadah di Kedah, Shamsul Nasarah berkata, berlaku peningkatan dalam kes itu di negeri berkenaan.

Menurutnya, memetik statistik antara Januari hingga Ogos lalu, kes penyalahgunaan dadah di Kedah membabitkan 17,278 orang iaitu meningkat 17.3 peratus berbanding jumlah tangkapan keseluruhan pada tahun lalu iaitu 14,284 kes.

“Jumlah klien yang menjalani rawatan dan pemulihan dalam institusi di Kedah dalam seliaan AADK peringkat kebangsaan dalam Jauari hingga September lalu, seramai 5,960 orang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here