AHLI Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen kerajaan mempersoalkan sama ada sindiket penyeludupan minyak masak peket bersubsidi berselindung di sebalik kuasa besar sehingga masih gagal dibanteras sehingga kini.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata, beliau hairan sindiket penyeledupan minyak masak peket itu masih berleluasa meskipun isu tersebut sudah dibangkitkan sejak sekian lama.

Beliau mengambil contoh ketika ini, minyak masak peket bersubsidi dijual secara berleluasa di sempadan Thailand selain dengan mudah diseludup ke Indonesia dari Johor melalui jalan laut.

“Kita harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerjasama dengan Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) untuk tangkap semua sindiket penyeludupan ini.

“Kenapa tidak ada tindakan tegas yang berkesan diambil? Adakah kerana di belakang sindiket penyeludupan ini adalah satu kuasa besar sehingga kita tak berani nak sentuh sindiket ini?

“Sebab sindiket ini saya anggap mereka penjual negara, pengkhianat kepada negara, ini adalah wang (subsidi) yang diperuntukkan kepada rakyat kita,” katanya dalam perbahasan peringkat jawatankuasa KPDN bagi Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Poay Tiong berkata, isu kekurangan minyak peket bersubsidi tidak akan berlaku di pasaran sekiranya kerajaan berjaya membanteras aktiviti penyeludupan memandangkan sebanyak 60 juta peket minyak masak itu dikeluarkan setiap bulan.

Jelas beliau, dengan jumlah itu, setiap penduduk negara ini sekurang-kurangnya dapat membeli dua peket atau dua kilogram (kg) minyak masak tersebut sebulan dengan mudah.

Malah, ujar beliau, dengan jumlah itu juga bukan hanya dapat dinikmati oleh golongan sasar seperti B40, tetapi golongan T20 dan M40 juga dapat membelinya.

“Tetapi ini tidak berlaku kerana sistem penguatkuasaan yang digunakan KPDN sudah gagal.

“Sebab itu saya rasa sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula sistem yang diguna pakai ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here