Pengarah Syarikat Lesong Food Industries Sdn. Bhd. Datuk Dr Zaini Md Tahadidenda RM20,000 oleh Mahka mah Seksyen Ayer Keroh, Melaka hari ini kerana melakukan kesalahan itu tiga tahun lalu.

MELAKA – Padah menjual minyak masak secara berlebihan, sebuah syarikat pembekal didenda RM20,000 oleh Mahkamah Seksyen Ayer Keroh di sini hari ini kerana melakukan kesalahan itu tiga tahun lalu.

Syarikat Lesong Food Industries Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Datuk Dr Zaini Md Taha dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman sebaik pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, syarikat pembekal itu didapati telah menjual 240 unit minyak masak lima kilogram jenama Lesong dengan jumlah 1,200 kilogram yang mana jumlah itu telah melebihi had kuantiti dalam lesen runcit Syarikat Era Prestij Resources.

Kesalahan itu dilakukan di premis Lesong Food Industries Sdn Bhd di Jalan Bestari 5, Bandar Jasin Bistari, Seksyen 2 dalam daerah Jasin pada 13 Ogos 2021.

Sabit kesalahan, syarikat boleh denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda sehingga RM5 juta mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mengikut fakta kes, sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka telah melakukan serbuan di Syarikat Era Prestij Resources di Melaka Halal Hub, Serkam Fasa 2, Merlimau pada kira-kira pukul 3.30 petang 4 Oktober 2021.

Semasa serbuan, barang kawalan minyak masak dijumpai sebanyak 700 kilogram (kg) yang melebihi kuantiti dibenarkan dalam lesen runcit syarikat berkenaan iaitu sebanyak 500 kg sahaja.

Siasatan mendapati, pembekal minyak masak kepada syarikat itu ialah syarikat pemborong Lesong Food Industries Sdn Bhd.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Muhammad ‘Aqib Hasan Azhari dan Muhamad Ashraf Nashruddin Ahmad nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam hujahan mereka meminta mahkamah menjatuhkan denda yang tinggi kerana ia adalah kesalahan serius melibatkan kepentingan awam dan boleh membuka ruang kepada penyelewengan minyak masak di pasaran.

Tertuduh bagaimanapun merayu denda paling rendah dan hanya mampu menyediakan RM10,000 kerana sudah menutup perniagaannya di Melaka selain ia adalah kesilapan teknikal kerani syarikat itu dalam menyediakan invois.

Mahkamah kemudian mengarahkan syarikat tertuduh didenda sebanyak RM20,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast