KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan Telok Panglima Garang, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Supritendan Mohd Sufian Amin berkata, pihaknya menerima panggilan seorang wanita pada jam 7.20 malam memaklumkan menemui mangsa terbaring di tepi jalan dengan kesan tikaman.
“Pihak Hospital Banting telah mengesahkan kematian mangsa berusia 34 tahun yang ditikam di bahagian rusuk sebelah kiri,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau, semakan yang dibuat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki bergelut dengan mangsa sebelum melarikan diri.
Mohd Sufian berkata, tujuh lelaki asing yang berusia 30 hingga 49 tahun sudah ditahan untuk siasatan dan direman enam hari sehingga Isnin depan.
Kes dibuka di bawah 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
Menurutnya, siasatan kini diteruskan untuk mengenal pasti punca kejadian dan penglibatan semua suspek dalam kes yang disiasat.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3182222,” tambahnya.- MalaysiaGazette