Chang Lih Kang.

PUTRAJAYA – Pendekatan dan teknologi yang digunapakai menerusi Sistem Wireless Bridging (WBS) dapat dipertimbangkan secara serius dalam usaha kerajaan merealisasikan aspirasi 100 peratus liputan kelajuan jalur lebar mudah alih.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, dengan adanya sistem WBS aspirasi untuk melihat negara diliputi rangkaian internet secara keseluruhannya boleh dicapai menjelang tahun 2025.

“Selain penggunaan internet satelit, WBS juga boleh diadaptasi untuk memperluaskan sumber internet dari fasiliti sedia ada seperti di Pusat e-Desa, Pusat Internet Komuniti dan PEDi (Pusat Ekonomi Digital) lantas memperkasa fungsi fasiliti-fasiliti itu dalam memastikan kesalinghubungan digital masyarakat.

“Pemasangan sistem WBS juga cepat (kurang daripada satu bulan), jelas menunjukkan potensi pelaksanaannya bagi perluasan capaian internet di kawasan yang lebih terpencil dalam usaha merapatkan jurang masyarakat bandar dan luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis Sesi Perluasan Capaian Internet Melalui WBS di kementeriannya, hari ini.

Tambah Lih Kang, konsep WBS ini dimulakan pada 2022 dengan pelaksanaan sebuah projek pembuktian konsep (POC) teknologi WBS oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan TM One dengan sokongan kementeriannya dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah dilaksanakan di Kampung Pajam, Beranang, Selangor.

Ia kemudiannya diteruskan dengan pelaksanaan sistem WBS dicadangkan di Sekolah Kebangsaan Simbuan Tulid, Keningau, Sabah pada tahun 2023 di bawah Inisiatif Segera Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.

“Dengan kos sebanyak RM300,000 merangkumi langganan internet satelit berkelajuan tinggi selama tiga tahun dan pemasangan sistem WBS bagi perluasan capaian internet, ia kini telah memanfaatkan 158 pelajar, 15 guru serta 480 penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Ditanya samada sistem WBS boleh diperluaskan di seluruh negara, Lih Kang berkata, aspirasi itu boleh direalisasikan bergantung kepada keadaan fizikal sesebuah lokasi projek berkenaan.

“Buat masa ini, ia bergantung kepada projek tertentu kerana kita perlu mengkaji kesesuaian terlebih dahulu. Sistem ini memerlukan sumber elektrik, jadi ia bergantung kepada keadaan fizikal di lokasi tersebut.

“Jika ada kawasan pedalaman yang memerlukan teknologi ini, kita boleh menghantar pasukan untuk melakukan kajian,” katanya lagi.

Sistem Wireless Bridging merupakan teknologi penyambungan internet bagi memudahkan komuniti yang ketinggalan (unserved) dan terbatas (underserved) terutamanya bagi aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) dan aktiviti e-keusahawanan.

WBS merupakan penyelesaian yang melengkapi usaha Kerajaan untuk mengurangkan jurang digital di kawasan luar bandar melalui teknologi yang mampu meluaskan capaian internet dari sumber yang sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast