Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Majlis Khatam Sama' Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 di Masjid Putra, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Seramai 10,000 peserta hadir pada Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih al-Bukhari di Masjid Putra, di sini, malam ini.

Program anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu melibatkan penyertaan dari luar negara juga wakil-wakil kementerian, agensi, pendakwah, para ilmuwan, para pelajar pengajian tinggi awam dan swasta, madrasah dan institusi agama.

Program yang julung kalinya diadakan itu dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan At-Taibah dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia disempurnakan perasmiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Program dimulakan dengan bacaan Yasin dan solat Isyak diikuti syarahan perdana serta pengijazahan Sahih al-Bukhari oleh Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari.

Sementara itu, Mohd. Na’im berkata, sebagai nilai tambah kepada penganjuran majlis pada kali ini, turut dianjurkan Majlis Ilmu Madani Sama’ Hadith Sahih Bukhari yang bermula selepas solat Asar.

Kata beliau, ia disusuli dengan pengisian penyampaian Tausiah dan sesi Isnad Para Masyayikh selepas solat Maghrib.

Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 merupakan kemuncak penganjuran Majlis Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa yang telah bermula pada 10 hingga hari ini.

Ia telah menerima penyertaan peserta dari dalam dan luar negara seperti India, Arab Saudi, Mesir, Syria, Libya, Tunisia, Uzbekistan dan Indonesia.

Sahih al-Bukhari berada di kedudukan kitab yang paling sahih selepas al-Quran al-Karim.

Jumhur ulama hadis bersepakat menyatakan Sahih al-Bukhari adalah kitab yang paling sahih di antara karya hadis yang pernah dihasilkan.

Fakta ini menjadi satu kesepakatan dalam kalangan ulama Ahlus Sunnah Waljamaah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast