KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mempertikaikan kehadiran rombongan Kementerian Pendidikan Afghanistan ke negara ini.
Wakil kepada Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP tidak sepatutnya meletakkan imej negara yang sangat negatif di mata masyarakat antarabangsa dengan kenyataan tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, dasar diplomasi Malaysia boleh menerima atau mengadakan hubungan secara tidak rasmi atau de facto dengan negara-negara yang belum diiktiraf.
Malah, ujarnya, Afghanistan mempunyai duta di negara ini yang dilantik secara sah oleh kerajaan negara itu, meskipun Malaysia masih belum membuka pejabat kedutaan di Kabul.
“Namun, mereka (Afghanistan) telah pun ada hubungan dengan Malaysia, sebagai sebuah negara Islam, sepatutnya kita bantu negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan.
“Malah, kita juga menggesa kerajaan untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Afghanistan yang dipilih secara rasmi oleh rakyat negara itu,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Guan Eng menuntut penjelasan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban pada awal bulan ini.
Dalam sidang akhbar di Parlimen, Guan Eng berkata, lawatan delegasi itu menimbulkan persoalan kerana tidak dimaklumkan kepada umum.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PN juga menyokong dan menyeru Kementerian Pendidikan berkongsi ilmu dan kepakaran dalam membangunkan negara Afghanistan.
Jelasnya, ia seperti mana Malaysia pernah berkongsi kepakaran yang dimiliki dalam membantu negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan sebelum ini.
“Sebagai sebuah negara yang sudah ke hadapan dalam bidang pendidikan, Malaysia juga boleh menawarkan tempat kepada pelajar-pelajar dari Afghanistan untuk menyambung pengajian di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette