KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) melahirkan kebimbangan mengenai pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa hampir 75 peratus daripada kos perjalanan rasminya ke lima negara dibayar oleh syarikat swasta.

Parti itu berkata, kenyataan tersebut mencetuskan tanda tanya berkaitan isu ketelusan terutamanya kemungkinan pengaruh korporat terhadap keputusan kerajaan.

Ujarnya, rakyat berhak mendapatkan penjelasan bagaimana syarikat seperti Petronas, Sapura, Proton dan syarikat semikonduktor dipilih untuk menaja lawatan rasmi.

“Adakah syarikat swasta lain yang mempunyai keupayaan dan
sumber yang sama akan diberi peluang yang sama, memastikan keadilan dan ketelusan dalam proses pemilihan?

“Apakah faedah yang diperoleh oleh syarikat swasta seperti syarikat semikonduktor daripada menampung 75 peratus daripada kos perwakilan kerajaan? Adakah terdapat sebarang faedah atau kelebihan kepada syarikat-syarikat ini selain daripada penajaan semata-mata?,” soalnya.

Menurut parti tersebut, sudah tentu kekhuatiran tercetus terhadap risiko wujudnya kumpulan sekutu korporat yang berpotensi membawa kepada unsur kronisme kerana menaja lawatan rasmi kerajaan.

Justeru, MUDA menggesa supaya Anwar memberi penjelasan berhubung kenyataan terbaharunya itu.

“MUDA menggesa Perdana Menteri memberikan penjelasan berhubung ini…Apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan Madani untuk memulihkan kepercayaan rakyat dan memastikan pentadbiran kekal bebas dan bertanggungjawab kepada rakyat?

“Rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang beroperasi dengan standard integrity tertinggi, bebas daripada pengaruh korporat, MUDA kekal teguh dalam komitmennya untuk menuntut akauntabiliti dan ketelusan daripada mereka yang berkuasa,” katanya.

Anwar di Dewan Rakyat hari ini dilaporkan berkata, kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.

Jelasnya, pendekatan tersebut dilaksanakan di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.

Malah beliau berkata, syarikat yang membantu membiayai kos perjalanannya mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast