KUALA LUMPUR – Gabungan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) tidak layak untuk memberi sebarang penarafan kepada kerajaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, banyak sebab kenapa badan bukan kerajaan itu tidak mempunyai kredibiliti untuk memberi penarafan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu mendakwa, BERSIH bersifat berat sebelah malah ada melakukan pembohongan.
“Mulanya memang excited bila baca tajuk ‘Kerajaan Madani diberi gred D’. Tetapi oleh kerana BERSIH yang bagi gred D itu maka excitement itu hilang.
“BERSIH mana ada kelayakan beri penarafan. BERSIH tidak konsisten, amat selektif, berat sebelah dan juga banyak berbohong. Sampai sekarang gagal beri bukti BN import pengundi hantu dari Bangladesh.
“BERSIH membisu apabila Richard Malanjum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pengecahan Rasuah Malaysia,” tegas Mohd. Puad.
Tambah pemimpin UMNO itu, pemimpin BERSIH yang dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Pilihan Raya tidak melakukan sebarang pembaharuan begitu juga Maria Chin yang terpilih sebagai wakil rakyat.
Katanya, berdasarkan rekod perkhidmatan yang ditunjukkan oleh pemimpin BERSIHitu mereka seharusnya diberikan penarafan ‘D’.
“Ada tokoh BERSIH dalam SPR. Apa reformasi mereka buat? Maria Chin tidak menyerlah pun masa jadi ahli Parlimen Petaling Jaya. Patut mereka itu yang diberi gred D,” katanya di media sosial.
Terdahulu, BERSIH dilapor menilai kerajaan perpaduan dengan gred ‘D’ mengambil kira prestasi sejak dua tahun pembentukannya.
Pengerusinya, Faisal Abdul Aziz berkata gred diterima kerajaan perpaduan mencerminkan kemajuan terhad melaksanakan reformasi serta jurang antara retorik dan tindakan.
“Kami percaya kerajaan gabungan pasca pilihan raya bukan alasan meninggalkan semua reformasi dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Ini mengambil kira terdapat empat janji utama dalam kedua-dua manifesto BN dan PH – yang mana menunjukkan mereka bersetuju – tetapi belum dilaksanakan sepenuhnya.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri adalah pemimpin PH ketika janji-janji ini dibuat kepada pengundi,” katanya ketika membentangkan ‘kad laporan’ untuk prestasi kerajaan.- MalaysiaGazette
Bersih ni siapa? Yg duk guling2 atas jalan tu kaaa? Yg duk demo pasal GST tu kaa? Lepas tu dgn mcm2 cukai skrg ni tak berguling plak? tong sampahkan jaaa Bersih ni..sebuah gerakan haram mcm GISB