Kamal (kiri) semalam melepaskan ikan spesis baung untuk Cabaran Memancing Kuala Lumpur Ahad ini.

KUALA LUMPUR – Hadiah termasuk wang tunai keseluruhan bernilai RM20,000 menanti peserta Cabaran Memancing Kuala Lumpur 2024 pada Ahad ini.

Pertandingan diadakan di Tasik Permaisuri itu dijangka disertai 500 peserta.

Timbalan Pengarah Telekom Malaysia (TM) Wilayah Tengah, Kamal Ais berkata, pihaknya menggalakkan rakyat Malaysia merancang percutian domestik sekali gus menyokong penggiat industri pelancongan tempatan melalui program Cabaran Memancing Kuala Lumpur.

“Jadi program ini bertujuan memberi motivasi dan sokongan kepada penggiat industri pelancongan di Kuala Lumpur bagi merangsang pertumbuhan industri pelancongan di ibu kota terutamanya tasik-tasik di Kuala Lumpur sebagai riadah sihat bersama keluarga merapatkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan komuniti setempat.

“Aktiviti bertemakan cuti cuti Malaysia itu sememangnya dinantikan kaki pancing khususnya di ibu kota.

“Tasik ini menjadi sebutan kaki pancing antaranya tilapia, patin, belida, toman, keli, ketutu serta ikan bandar raya dengan berat antara 100 gram hingga 15 kilogram.

“Tasik Permaisuri tidak akan menghampakan pemancing di tasik ini khususnya warga kota,” katanya ketika melepaskan hampir 200 kilogram ikan baung berat antara 600 gram hingga dua kg di sini semalam.

Pada masa sama, Kamal berkata, para peserta juga berpeluang beriadah serta menikmati keindahan kawasan tasik bersama keluarga sepanjang menyertai aktiviti tersebut.

Juara pertandingan akan membawa pulang RM6,000, naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,000), ke 4 hingga ke-10 (RM200).

Tempat ke-11 hingga 20 (RM150) dan tempat ke-21 hingga 100 (RM100 setiap seorang).

Cabutan bertuah antaranya TV 32 inci serta barangan peralatan memancing menanti peserta.

Penganjuran bersama Airfour Classic dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mendapat sokongan dari Tourism Malaysia selain dapat membantu MOTAC dan Tourism Malaysia dalam persediaan menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Yuran RM50 dikenakan untuk sebatang joran dan 400 penyertaan awal akan menerima baju-T sumbangan penaja.

Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini mulai pukul 4 petang hingga 7 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-266 1077, 013-305 2811 atau 012-284 6811 atau melayari laman sosial facebook.com/jorankl. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here