Keadaan dapur sebuah hotel di Ayer Keroh yang kotor, dipenuhi najis tikus dan lipas diarahkan tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, minggu lalu.

MELAKA – Dua buah dapur hotel di sini diarah tutup sementara selepas dikesan kotor termasuk mempunyai najis tikus dan lipas dalam satu operasi minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Ruzita Mustaffa berkata, dalam operasi pada 11 dan 12 November lalu, sebanyak 41 buah hotel seluruh negeri diperiksa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM).

“Hasil pemeriksaan, dapur di dua buah hotel sekitar Ayer Keroh didapati kotor malah mempunyai najis tikus dan lipas menyebabkan arahan tutup selama 14 hari dikeluarkan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Selain pemantauan keselamatan makanan, sebanyak enam buah hotel juga dikenal pasti mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ruzita Mustaffa

Tambahnya, pihaknya turut mengeluarkan 33 kompaun kesalahan dengan nilai RM11,475 terhadap hotel lain di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Dr Ruzita berkata, operasi dilakukan sempena pemilihan Melaka sebagai tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Dunia, (WTD) 2025 yang bakal berlangsung pada 27 September tahun depan serentak dengan Persidangan Pelancongan Dunia, (WTC) 2025.

“Justeri kehadiran lebih ramai pelancong ke Melaka sudah pasti akan merancakkan lagi industri makanan di negeri ini yang perlu sentiasa berada di tahap terbaik.

“Semua pengusaha hotel dan premis makanan disarankan sentiasa menyediakan makanan yang selamat dan menjaga kebersihan selaras pematuhan akta mengikut undang-undang,” tegasnya.

Keadaan dapur sebuah hotel di Ayer Keroh yang kotor, dipenuhi najis tikus dan lipas diarahkan tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, minggu lalu.

Tambah beliau, JKNM selepas ini akan terus meningkatkan pemantauan ke atas semua premis- premis khususnya hotel di seluruh Melaka.

Ini jelasnya bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan kebersihan persekitaran hotel di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975).  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast