AHLI Parlimen Jelutong, RSN Rayer pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Sesi sidang Dewan Rakyat pagi ini kecoh selepas Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menyifatkan penerimaan dunia terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama tarafnya seperti Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela.

Rayer (PH-Jelutong) membuat kenyataan itu ketika bangun untuk bertanyakan soalan tambahan ketika sesi pertanyaan Menteri yang dijawab Anwar di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, kata Rayer, beliau melihat Anwar ketika ini giat mengambil langkah-langkah untuk mereformasikan pentadbiran negara dan memperjuangkan perkara melibatkan tata kelola.

“Penerimaan PM di persada dunia sama tarafnya seperti pejuang-pejuang Mahatma Gandhi dan juga Nelson Mendela,” katanya.

Kenyataan Rayer itu disambut dengan sorakan tidak bersetuju ahli Parlimen pembangkang yang bangun mempertikaikan pengiktirafan itu.

Ada dalam kalangan mereka membidasnya dan menganggap Rayer mahu membodek selain secara sinis menyarankan pemimpin DAP itu diberi jawatan menteri.

Meneruskan soalannya, Rayer mahu Anwar menjelaskan maksud banduan terhormat yang pernah disebut Perdana Menteri memandangkan istilah itu dipertikaikan ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat sebelum ini.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang pada mulanya memberi ruang kepada Anwar menjawab soalan itu menarik balik kebenaran tersebut ekoran kekecohan yang tercetus pada awalnya.

“Saya buat keputusan Menteri (Perdana Menteri) tak perlu jawab…silakan jumpa (Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam). Beliau sedang tunggu PM dan mereka tetamu kita,” katanya.

Ekoran keputusan Speaker itu juga beberapa Ahli Parlimen pembangkang antaranya Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) bangun melahirkan rasa tidak puas hati kerana Anwar perlu meninggalkan Dewan Rakyat tanpa menjawab soalan yang bakal dibangkitkan mereka.

Bagaimanapun, Anwar secara ringkas sebelum beredar berkata: “Saya tak peduli maki hamun, saya tak peduli…saya ada kerja, saya sudah dimaki hamun berpuluh-puluh tahun dan di sebelah sana yang paling kuat pertahankan saya, saya ucap terima kasih”.

Minggu lalu, Dewan Rakyat tegang selepas Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) membangkitkan isu banduan terhormat dipercayai merujuk kepada satu video yang tular mengenai ucapan Anwar.

“Berkaitan dengan penjara ini saya terdengar satu video mengatakan bahawa, saya banduan terhormat. Persoalan saya adakah perkataan banduan terhormat ada dalam Kamus Dewan?

“Yang kedua dikatakan pemenjaraan beliau adalah kerana konspirasi. Adakah itu satu tuduhan yang berat kepada pihak judgement…adakah Perdana Menteri terlepas daripada undang-undang,” katanya.

Kenyataan itu menyebabkan Rayer bangkit mempertikaikannya sehingga memaksa campur tangan Johari yang menyarankan perkara itu ditanya terus kepada Anwar hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here