BALIK PULAU – Empat rakan sekerja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada 10 November lalu.
Tertuduh, Mohammad Syaril Mohamad Roni, 24; Muhammad Syamir Sahimi, 25; Muhammad Shazwan Akmal Dzulkifli, 20, dan Mohd Adam Zulkifli, 20, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan masing-masing mereka didapati telah merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun antara jam 2 hingga 5 pagi di sebuah rumah di Jalan Sungai Ara 3, Bayan Lepas dekat sini pada 10 November lalu.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala empat pekerja sebuah syarikat kargo itu tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Jin Hong tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor kesemua tertuduh berusia lebih 16 tahun itu tidak mempunyai masalah kesihatan, kesalahan dilakukan mereka adalah serius selain mangsa juga bawah umur.
Hakim kemudian memutuskan kesemua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.
ARTIKEL BERKAITAN:
Empat suspek rogol remaja 14 tahun disambung reman tiga hari
4 lelaki ditahan bantu siasatan rogol remaja 14 tahun
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan polis menahan empat lelaki selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun.
Mangsa dikatakan dirogol bergilir-gilir di rumah sewa tiga suspek di Jalan Sungai Ara 3. – MalaysiaGazette