Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berucap ketika hadir pada Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) di Hotel Dorsett, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar mengingatkan mana-mana individu untuk tidak menggunakan namanya dalam memperdaya syarikat pelancongan tempatan bagi mendapatkan lesen syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Malah beliau secara terbuka melabelkan golongan itu telah menerima wang haram hasil penipuan tersebut yang perlu dibayar oleh syarikat pelancongan tempatan dan mereka akan berdepan dengan kehancuran masa depan.

“Saya difahamkan dan dengar ada sesetengah orang yang menggunakan nama menteri di mana permohonan khususnya yang baharu kalau nak lulus, dapat sokongan daripada menteri. Insya-Allah dijamin akan lulus.

“Maknanya ada sokongan daripada menteri termasuklah 25 yang dapat diteruskan lesen dan 12 (PJH baharu) ini. Saya difahamkan ejen-ejen yang bergerak menggunakan nama saya untuk dapat keputusan. Saya hendak ambil peluang ini beritahu, temberang.

“Kalau betul ada di kalangan syarikat-syarikat ini yang diminta membayar satu-satunya pembayaran kepada individua atau ejen, depan semua ini tuan-tuan minta balik duit, (itu) pembohong.

“Sudah memburukkan nama menteri, lepas itu ambil keuntungan atas sasaran orang lain. Bagi mereka yang ambil duit atas nama saya sebagai menteri, haram duit itu dan setakat dapat RM5,000, RM6,000 guna nama menteri hendak menyakinkan syarikat ini, tidak bawa ke mana dan hancur hidup kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lesen PJH 1446H/2025M di sini hari ini.

Pada majlis itu, Lembaga Tabung Haji (TH) melantik 37 syarikat pelancongan tempatan, termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) sebagai PJH bagi musim haji 1446H/2025M.

Penambahan bilangan PJH kepada 37 syarikat pelancongan tempatan bagi musim 1446H/2025M ini berbanding 25 syarikat PJH pada musim lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here