Mohd Nuzi Tamli

PUTRAJAYA – “Kenangan menghantar Muhammad Danial setiap pagi pada minggu lalu dari Bestari Jaya antara kenangan terakhir saya bersama arwah”.

Itu luahan Mohd Nuzi Tamli, 57, bapa kepada salah seorang mangsa maut dalam kejadian kereta terbabas  iaitu Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24,  berhampiran IOI Conezion Putrajaya awal pagi tadi.

Mohd Nuzi yang ditemui berkata, walaupun sedih atas kehilangan anak kelapan daripada 10 beradik itu, namun dia dan keluarga reda dengan ketentuan takdir.

“Saya terima perkhabaran ini agak lewat sekitar 11 pagi dari anak perempuan saya (ke-9) yang belajar di Unisel.

“Sebaik dengar perkara sedih ini, saya rebah seketika. Memang terkejut sebab tak percaya dia telah pergi tambah saya tengah kerja.

“Memang saya tak sangka dia boleh pergi tinggalkan kami dalam usia muda sebab baharu sahaja Danial hubungi saya malam kelmarin,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Wajah Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24, antara salah seorang daripada empat mangsa yang maut dalam nahas berhampiran IOI Conezion Putrajaya awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, Muhd Nuzi berkata, Muhammad Danial bekerja sebagai operator di sebuah kilang biskut di Kota Puteri, Ijok dekat sini dan baharu tiga bulan tinggal berasingan daripada keluarga.

Bercerita mengenai keperibadian anaknya itu, bapa kepada 10 orang anak itu berkata, anaknya merupakan harapan keluarga kerana allahyarham bekas pelajar tahfiz.

“Dia memang anak yang baik malah seorang hufaz al- Quran pada usia 16 tahun selain selalu jadi imam di masjid kawasan perumahan kami.

“Sekarang ini kami tunggu proses bedah siasat selesai dan harap berjalan dengan baik, insya-Allah jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya,” ujarnya sebak.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati ramai hali keluarga mangsa telah tiba di kawasan Unit Forensik bagi tuntutan mayat untuk proses pengebumian.

Terdahulu, empat mangsa termasuk seorang wanita hamil maut melibatkan sebuah kenderaa jenis Viva dalam kemalangan berhampiran IOI Conezion Putrajaya awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, dalam kejadian sekitar 1 pagi kereta itu dipandu dari arah Kajang menghala ke Putrajaya.

Katanya, kereta terbabit telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan dan kesemua mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kereta terbabas sendiri punca kemalangan maut di Putrajaya – Polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast