Tangkap layar dari CCTV menunjukkan suspek (dalam bulatan) mencuri beg tangan pengunjung pasar raya yang diletakkan dalam troli.

MELAKA – Seorang ibu empat anak yang dipercayai aktif mencuri dompet pelanggan sebuah pasar raya di Ayer Keroh di sini diberkas polis semalam.

Wanita berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.35 malam ketika sedang berjalan menuju ke kenderaannya oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Ayer Keroh.

Difahamkan suspek turut mencuri dompet pengunjung yang menunaikan solat dalam surau di pasar raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, terdahulu, polis menerima laporan kejadian itu melibatkan suspek berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

“Hasil pemerhatian di pintu masuk, polis melihat suspek dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan menuju ke arah parkir kenderaan sebelum menahannya.

“Pemeriksaan dalam beg sandang dibawa suspek kemudian menjumpai dua dompet mengandungi dokumen peribadi milik beberapa individu lain dipercayai mangsa kejadian curi selain wang tunai RM10,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya hasil semakan mendapati, suspek yang mempunyai empat anak berusia 23, 19 dan pasangan kembar berusia 13 tahun mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah sama dan dua kes dadah.

“Kesemua barangan bukti dirampas dan suspek ditahan di lokap di Balai Polis Malim bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast