JAKARTA- Menteri Perlindungan Pekerja Migran, Abdul Kadir Karding berkata, pihaknya dan Kementerian Hal Ehwal Imigresen dan Penjara merancang untuk mewujudkan satu pasport khas kepada pekerja migran Indonesia.
“Pekerja migran Indonesia mungkin diberikan pasport istimewa dengan kod khusus pada masa depan,” katanya selepas mesyurarat dengan Menteri Hal Ehwal Imigresen dan Penjara, Agus Adrianto.
Tegasnya, pasport khas itu adalah pengesahan bahawa pekerja migran tersebut boleh bekerja di luar negara sekali gus memberi perlindungan kepada pekerja Indonesia.
Katanya, rancangan tersebut dijangka mampu mengurangkan jumlah pekerja asing haram yang sangat terdedah untuk dieksploitasi dan pemerdagangan manusia.
Sementara itu, Timbalan Menteri, Christina Aryani berkata, pasport khas itu membolehkan pihak berkuasa memantau pergerakan pekerja migran Indonesia.
“Apabila kami tahu bila mereka datang dan pergi, kami boleh memberi perlindungan lebih baik. Ia juga dapat menghalang pekerja migran yang tidak mengikut prosedur berlepas,” katanya.
Tambah beliau, pekerja Indonesia juga akan diwajibkan untuk mempunyai baki wang mencukupi di dalam akaun mereka sehingga tiga bulan sebelum berlepas.
Katatanya, syarat wajib mengenai baki akaun bank itu dapat menghalang pekerja migran daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Selain pasport khas dan baki akaun mencukupi, Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia juga akan mengintegrasi data pergerakan pekerja migran daripada pihak berkuasa imigresen ke dalam sistem perlindungan kementerian. -Agensi