PUTRAJAYA – Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 (HKHM) disifatkan sebagai satu pasukan terbaik yang telah menjayakan kedua-dua sambutan dengan lancar baru-baru ini.
Berucap di Perasmian Penutupan HKHM 2024, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, acara sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya dan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu telah diurus dengan baik dengan pelbagai kelainan ditampilkan bagi menarik kehadiran ribuan pengunjung.
“Saya rasakan bahawa pasukan yang ada cukup baik, terima kasih kepada semua. Tanpa anda semua, sambutan tidak berjaya, sambutan tidak berjalan dan tidak mendapat sambutan (ramai).
“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024, saya rakam setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap individu atas usaha keras demi kejayaan dan kelancaran sambutan,” katanya.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024, Fahmi menganggap tugasan itu merupakan antara tugasan paling berat yang dipikulnya.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 berjalan lancar dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
Manakala, lebih 40,000 pengunjung hadir di Padang Merdeka bagi meraikan sambutan Hari Malaysia 2024 yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah.
Mengulas lanjut katanya, biarpun HKHM 2024 berlangsung dengan lancar, namun terdapat beberapa aspek yang perlu dinilai dan diperbaiki bagi memastikan sambutan pada tahun akan datang dilaksanakan dengan lebih baik.
“Saya percaya tahun depan akan ada keunikan yang akan ditonjolkan oleh kementerian, jabatan dan agensi. Insya Allah kita akan teliti beberapa perkara supaya acara bertambah meriah,” kata Fahmi. – MalaysiaGazette