PUTRAJAYA – Dua lagi jenazah yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran IOI Conezion Putrajaya di sini, selesai dituntut ahli keluarga sekitar jam 9.00 malam tadi.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, jenazah jurutol, Nizasuhana Ujang 28, telah dituntut waris pada jam 9.55 malam tadi selepas selesai proses bedah siasat.
Jenazah wanita itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Balakong, Cheras malam ini.
Sementara itu, jenazah Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24, pula dibawa keluar pada jam 10.05 dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya esok pagi.
Menurut keluarga Muhammad Danial, anak kelapan dari 10 beradik itu juga akan melalui proses mandi jenazah di Masjid Al Awwabin, Bestari Jaya.
Terdahulu, proses bedah siasat bagi ke atas mangsa dilakukan di Unit Forensik Hospital Putrajaya bermula tepat jam 1 tengahari.
Selain daripada Nizasuhana dan Muhammad Danial, mangsa yang turut maut adalah Amizan Sapiie, 27, dan Nurulhuda Ramli, 41. – MalaysiaGazette