Onn Hafiz (tengah) menunjukkan Buku Belanjawan Johor 2025 sambil diperhatikan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani (kiri) dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) Datuk Asman Shah sempena Pembentangan Belanjawan Johor 2025 di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Johor sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada empat hari setengah.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata, perubahan itu susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

“Bagi tujuan ini kerajaan negeri kini sedang giat melakukan penambahbaikan bagi mempertingkatkan produktiviti dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatannya.

“Ini termasuk memperkasa perkhidmatan digital dengan penambahan urusan yang boleh dilaksanakan secara atas talian atau online,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Johor 2024 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Katanya, kerajaan Johor juga akan memanjangkan waktu operasi perkhidmatan kaunter yang kritikal untuk terus beroperasi termasuk pada waktu rehat antara pukul 1 tengahari sehingga 2 petang;

Menurutnya, penyeragaman waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan dilaksanakan.

“Sekiranya usaha-usaha penambahbaikan itu berjalan lancar, Insya-Allah kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja kepada empat hari setengah tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja bagi sektor awam.

“Bagaimanapun, ia perlu mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya.

Sebelum ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan melaksanakan waktu bekerja dalam seminggu yang paling singkat di dunia iaitu hanya empat hari setengah seminggu, berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Di bawah langkah itu, waktu kerja antara Isnin hingga Khamis adalah bermula pukul 7.30 pagi hingga 3.30 petang manakala bagi hari Jumaat, waktu bekerja bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Bahkan bagi pekerja kerajaan, mereka mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah pada Jumaat dan menyusun jadual waktu bekerja mengikut masa yang fleksibel.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here