Mastura didakwa di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahguna jawatannya bagi menyerahkan tender kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengan dirinya enam tahun lalu.

Tertuduh, Mastura Ibrahim, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai Jurutera Awam gred J48 di JKR Pulau Pinang telah menggunakan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa Sebutharga dengan memilih Syarikat Rizwani dalam Mesyuarat Perbincangan Jawatankuasa Sebutharga Bil. 7/2018 yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.

Hasil daripada keputusan tersebut, syarikat itu telah mendapat kerja-kerja pengubahsuaian ruang pejabat Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri serta lain-lain kerja berkaitan bernilai RM158,440.

Tertuduh tidak mengaku salah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Jun 2018 di pejabat JKR Pulau Pinang.

Bagi kesalahan itu dia didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqah Liyana Rozman, manakala tertuduh diwakili peguam, Rafique Rashid.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan, perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula 27 Januari depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here