SEPANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak pernah mengenakan bayaran terhadap Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) yang ditawarkan kepada pelancong asing.
Ketuanya, Ibrahim Mohd Yusof berkata, pihaknya kesal apabila ramai pelancong asing menjadi mangsa sindiket penipuan dengan mewujudkan laman MDAC palsu untuk mengaut keuntungan.
“Ada pihak mengambil kesempatan mewujudkan MDAC palsu supaya pelawat luar berurusan dengan scammer, apabila mereka menggunakan sistem pihak ketiga dan sampai ke sini, rekod mereka tiada dalam sistem kita.
“JIM hanya mempunyai satu sistem MDAC sahaja iaitu di pautan https://imigresen-online.imi.gov.my/mdac/main.
“Kemudian pelawat asing ini akan dikenakan bayaran sehingga AS$100 sedangkan perkhidmatan MDAC yang kami tawarkan secara percuma,” katanya dalam sesi libat urus Ketua Imigresen KLIA bersama petugas media di KLIA1, di sini, hari ini.
Antara pautan MDCA palsu yang diwujudkan sindiket scammer ialah https://www.malaysiadigitalcard.com, https://malaysiadac.d30soovsrqv7r1.amplifyapp.com, https://malaysiacard.com dan https://www.mytouristonlineinfo.com/application.
Menurut Ibrahim, beliau tidak menolak kemungkinan kemudahan perkhidmatan Imigresen itu menjadi mangsa scammer kerana peluang pekerjaan yang besar di negara ini.
“Mungkin dengan cara ini memudahkan mereka (pelawat asing) masuk ke Malaysia disebabkan perkhidmatan itu berbayar, sedangkan apabila mereka sampai ke sini, rekod mereka tiada, sampai ke Imigresen, mereka tak boleh masuk,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun rekod pelancong asing ini tiada di dalam sistem Imigresen, namun mereka masih boleh mengisi borang di pautan rasmi MDAC sebelum dibenarkan memasuki pintu negara.
“Mereka masih boleh mengisi butiran diri dan perjalanan dalam sistem MDAC rasmi di pintu ketibaan (KLIA), walaupun mereka sebelum ini telah membuat bayaran kepada pihak ketiga,” katanya.
MDAC adalah sebahagian dari lima inisiatif utama bagi penambahbaikan kemudahan perkhidmatan JIM, selaras pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang mengecualikan visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India bermula 1 Disember 2023. – MalaysiaGazette