SEPANG – Tidak timbul isu ketiadaan pegawai di kaunter manual imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada waktu puncak hingga menjejaskan waktu menunggu sama ada di Balai Ketibaan mahupun Balai Berlepas di pintu keluar masuk utama negara.
Pengarah Imigresen KLIA, Ibrahim Mohd Yusof berkata, sebaliknya kewujudan kaunter ‘kosong’ sebenarnya bersesuaian dengan jadual penerbangan harian mengikut shift pada waktu puncak dan waktu biasa.
“Tiada isu sebenarnya, bukan masalah kaunter kosong, asalkan berapa lama kita selesaikan pelawat masuk (di pintu negara), itu yang penting sebenarnya, bukan kerana kaunter kosong, kita kena penuhkan, tak.
“Ada masa-masanya, bukan waktu puncak, oleh kerana itu, tiada keperluan anggota di situ, lebih baik dia buat perkara lain.
“Macam awal pagi, tak ramai (pelawat), kenapa dia nak penuhkan kaunter, orang ini bila kosong jer dia ambil gambar, mudahnya (dimuat naik) di media sosial, lepas itu komplen,” katanya dalam sesi libat urus Ketua Imigresen KLIA bersama petugas media di KLIA1, di sini, hari ini.
Menurut Ibrahim, meskipun pihaknya berdepan dengan situasi kesesakan di kaunter manual Imigresen apabila berlaku kelewatan penerbangan, namun pihaknya hanya memerlukan sehingga 5 minit bagi aktu menunggu setiap pelawat.
“Memang betul ada kaunter kosong, tetapi ia tidak mendatang masalah kepada orang (pelawat), bila berlaku kelewatan penerbangan, itu yang barisan panjang.
“Bila ada kelewatan penerbangan, dia turun dalam keadaan yang banyak, bila ramai orang. Memang kita ada bagi maklumat dari segi jadual penerbangan, tetapi kelewatan penerbangan di luar kawalan kita.
“Bila lewat, dia turun ramai, setiap 5 minit dia turun itu yang penuh (kaunter manual imigresen). Bila penuh, kita terpaksa penuhkan kaunter dengan saluran yang ada, untuk memastikan pelawat masuk dapat diselesai dalam masa yang singkat,” katanya.
Beliau berkata, keadaan kaunter ‘kosong’ yang sering digembar-gemburkan sebenarnya tidak mencerminkan prestasi pegawai Imigresen di pintu masuk utama negara.
“Imigresen KLIA berjaya mengurangkan tempoh menunggu di pintu masuk negara dari 111 minit pada Januari 2023 kepada 72 minit atau 38 minit lebih awal pada masa ini.
“Malah pasukan Imigresen juga berjaya mencapai KPI di bawah Pelan Strategik Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2021-2025 yang meletakkan sekurang-kurangnya 35 peratus pengurangan tempoh menunggu di KLIA,” katanya.
Selain itu, katanya, mengikut Prestasi Imigresen KLIA setakat Januari hingga Oktober tahun ini, purata tempoh menunggu di Balai Ketibaan di KLIA Terminal 1 mencapai 48.65 minit atau 56.2 peratus dengan melibatkan seramai 431,073 pelawat asing.
“Walaupun tempoh menunggu di Balai Ketibaan di KLIA Terminal 1 pada Februari mencatatkan 72 minit atau 35.1 peratus dengan 428,278 pelawat asing, namun jumlah masa itu semakin berkurangan dan berbeza setiap bulan,” katanya.
Katanya, kesesakan di kaunter Imigresen KLIA berjaya dikurangkan termasuk peluasan kemudahan kemudahan Autogate untuk pemegang Pas Lawatan Jangka Masa Panjang melibatkan 68,776 pengguna dari Januari hingga Disember 2023.
“Peluasan Autogate kepada pelawat asing dari 10 negara berisiko rendah termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Australia, New Zealand, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Arab Saudi membantu mengurangkan kesesakan.
“Sejak ia dikuatkuasakan pada 1 Februari 2023, seramai 29,722 pengguna telah memanfaatkan kemudahan Autogate antara Januari hingga Disember tahun lalu,” katanya. – MalaysiaGazette