PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Kelantangan Malaysia mengkritik Israel tidak menjejaskan hubungan serta kepentingan perdagangan negara dengan Amerika Syarikat (AS) atau negara-negara Eropah lain, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, ujar Perdana Menteri, Malaysia mengamalkan dasar luar yang bebas atau fiercely independent selain mengekalkan dasar principle of centrality di peringkat ASEAN.

Jelasnya, hubungan Malaysia dengan AS dan negara Eropah masih terjalin dengan kuat tetapi dalam masa sama, negara tersebut tidak boleh menafikan hak negara untuk menyuarakan pandangan yang mewakili sentimen keseluruhan rakyat Malaysia.

“Memang kita ambil langkah perlu untuk menentukan hubungan ini baik, dalam sidang APEC umpamanya, syarikat gergasi AS seperti Google dan Microsoft masih memberi ruang kepada kita.

“Maknanya pendirian kita yang tegas dan keras dalam beberapa isu termasuk Gaza dan praktis perdagangan tidak adil serta reformasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa pendirian Barat yang kurang disenangi tidak menjejaskan kepentingan perdagangan negara setakat ini.

“Kita terpaksa suarakan apa yang berfaedah dan menjaga kepentingan dan perhatian rakyat Malaysia,” katanya yang juga Menteri Kewangan pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) berkenaan bagaimana kerajaan mahu menyeimbangkan hubungan perdagangan dengan AS susulan ketegasan negara menentang Israel dalam konflik di Asia Barat.

Jelas Anwar, Malaysia tidak mempunyai pilihan sebaliknya meneruskan hubungan dengan AS di bawah kepimpinan Presiden baharu, Donald Trumph memandangkan negara itu merupakan negara terbesar dari segi pelaburan di negara ini.

Tetapi, dalam masa sama, ujar beliau, Malaysia juga sentiasa mencari strategi dan membuka ruang kepada pelaburan lain seperti China dan India.

Selain itu, tambahnya, Malaysia turut terbuka kepada pelaburan baharu seperti di Afrika Selatan dan negara-negara Arab serta menerusi BRICS.

“Dari segi hubungan dengan BRICS ini, memang AS ada suarakan kegusaran, tetapi saya beritahu kita ambil sikap bebas dalam perdagangan.

“Kita tidak halang penyertaan syarikat AS dan mereka juga tidak boleh halang hubungan perdagangan kita dengan China dan Rusia misalnya.

“Saya setujua dengan Muar kita harus guna kebijaksanaan dan saya percaya ada kemahiran di Kementerian Luar dan kekuatan diplomasi mereka untuk terus adakan hubungan yang baik dengan negara-negara berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here